
Mengapa leadership penting selain tahu buat kerja?
Dalam buku The Irrefutable Laws of Leadership, diperkenalkan satu prinsip asas yang sering dipandang remeh: Law of the Lid. Tahap kepimpinan seseorang menjadi had(limitasi) kepada tahap kejayaan yang mampu dicapai oleh organisasi. Kalau lid rendah, sejauh mana pun usaha siling kejayaan tetap rendah.
Dick dan Maurice McDonald membina sistem restoran yang cekap, pantas dan konsisten. Dari sudut operasi, idea mereka mendahului zaman. Namun kepimpinan mereka berhenti pada tahap pengurusan harian. Mereka hebat mengurus tetapi tidak memimpin untuk berkembang. Lid kepimpinan mereka rendah, maka perniagaan itu kekal setempat.
Segalanya berubah apabila Ray Kroc masuk. Kroc bukan sekadar nampak sistem yang baik. Dia nampak potensi skala. Dia memimpin dengan visi, keberanian mengambil risiko dan keupayaan membina rangkaian francais. Di sinilah bezanya antara orang yang menjaga kedai dengan orang yang membina empayar. Sistem sama, burger sama, dapur sama. Yang berubah hanyalah tahap kepimpinan.
McDonald’s berjaya bukan kerana resepi semata mata tetapi kerana leadership yang mengangkat lid organisasi. Kepimpinan menentukan sejauh mana sesuatu idea boleh pergi. Tanpa leadership, idea besar akan mati sebagai idea kecil. Dengan leadership, perkara biasa boleh menjadi luar biasa.
