
Dalam organisasi, terkadang kita berhadapan dengan dua golongan manusia ini, yang pandai dan yang memandai-mandai.
Dalam buku Thinking, Fast and Slow, Daniel Kahneman menjelaskan bahawa manusia cenderung membuat keputusan terburu-buru, tanpa semak. Kita rasa betul, lalu terus bertindak. Hakikatnya, kita belum cukup faham.
Sebab itu wujud apa yang dikenali sebagai The Dunning-Kruger Effect — orang yang kurang kompeten rasa dia paling bethoi, a.k. Palatau, manakala yang benar-benar tahu biasanya lebih berhati-hati. Yang paling bising bukan yang paling tahu.
Baru-baru ini dalam politik Tanah Air, agar panas juga dengan situasi memandai-mandai, membelakangkan keputusan jemaah.
Apabila seseorang melangkau proses, tidak mahu merujuk lagu organisasi dan membuat keputusan berdasarkan andaian sendiri, kesannya bukan pada dia seorang. Kerusi DUN hilang, bahkan Jawatan Menteri Besar juga hilang, dapat ke pihak lain. Satu pasukan boleh jadi tidak selaras. Keputusan jadi bercelaru. Orang lain terpaksa membetulkan semula.
Seperti yang dihuraikan oleh Patrick Lencioni dalam The 5 Dysfunctions of a Team, kerosakan pasukan sering berpunca daripada ego dan kegagalan untuk mendengar, bukan semata-mata kekurangan kemahiran. Bukan depa tak cerdik, cuma depa memandai-mandai. Terlebih cerdik, terlebih lajak dari laju.
Kalau kita dok mengai guna joran baitcast, bila spool berpusing terlalu laju mengalahkan umpan yang dibaling, apa jadi? Bihun.
Begitulah dalam organisasi, tidak perlukan orang yang terlebih lajak dari laju. Organisasi perlukan orang yang boleh berfungsi dalam sistem.
Jim Collins dalam Good to Great menekankan bahawa organisasi hebat dibina oleh individu yang berdisiplin, bukan yang sekadar menonjol. Mereka tahu bila perlu bercakap, dan bila perlu ikut. Kerana pada akhirnya, kepintaran tanpa disiplin akan menjadi liabiliti. Lebih dalam lagi, masalah “memandai-mandai” ini sering berpunca daripada ego.
Dalam Ego Is the Enemy, Ryan Holiday menyatakan bahawa ego menjadikan seseorang sukar menerima teguran dan terlalu yakin dengan pandangan sendiri. Sedangkan orang yang benar-benar pandai, biasanya lebih banyak bertanya daripada bercakap.
Ray Dalio dalam Principles juga menegaskan bahawa keputusan yang baik lahir daripada keberanian untuk diuji dan disemak.
Bukan daripada keyakinan tanpa semakan. Sebab itu dalam banyak keadaan. yang merosakkan bukan kebodohan. Tetapi kepintaran yang tidak terkawal.
Kita tidak kekurangan orang pandai. Kita kekurangan orang yang tahu cara menggunakan kepintaran itu dengan betul. Bak kata Menteri Besar Kedah yang saban kali diulang-ulang, kita perlu jadi intelek, bukan takat pandai semata-mata.

