The Seven Principles for Making Marriage Work: Ringkasan Buku Yang Wajib Dibaca Pasangan

The Seven Principles for Making Marriage Work: Ringkasan Buku Yang Wajib Dibaca Pasangan

Ada pasangan yang nampak tenang di luar, tetapi di dalam hati, masing-masing sedang berperang. Bukan kerana orang ketiga. Bukan kerana tiada cinta. Tetapi kerana perkara yang kecil, yang tidak pernah diselesaikan dengan cara yang betul.

Dalam buku The Seven Principle for Making Marriage Work, John Gottman tidak bercakap berdasarkan teori kosong. Beliau mengkaji ribuan pasangan, memerhati cara mereka bercakap, bergaduh, diam dan akhirnya menentukan sama ada mereka akan bertahan atau berpisah. Hasilnya jelas, perkahwinan tidak runtuh kerana konflik tetapi kerana cara kita mengurus konflik.

Buku ini membawa kita masuk ke dalam realiti perkahwinan yang sebenar. Kita akan melihat bagaimana KATA-KATA KECIL BOLEH MENJADI LUKA BESAR. Bagaimana rasa hormat yang hilang boleh menghancurkan hubungan yang sudah lama dibina dan bagaimana sikap diam yang disangka jalan selamat sebenarnya menjadi racun perlahan.

Namun buku ini bukan sekadar mendedahkan masalah. Ia memberikan jalan.

Gottman memperkenalkan tujuh prinsip yang menjadi asas kepada perkahwinan yang kukuh. Antaranya, memahami dunia pasangan secara mendalam, menghargai kebaikan yang sering kita abaikan dan belajar untuk hadir ketika pasangan memerlukan walaupun hanya dalam perkara kecil. Hubungan tidak dibina dengan perkara besar semata-mata tetapi dengan respon kecil yang berulang setiap hari.

Buku ini juga membuka mata bahawa tidak semua masalah perlu diselesaikan. Ada konflik yang akan sentiasa wujud. Namun, yang penting ialah bagaimana kita memahami makna di sebalik konflik itu. Kadang-kadang, di sebalik pergaduhan tentang duit sebenarnya ada rasa takut. Di sebalik kemarahan ada rasa tidak dihargai.

Lebih mendalam, buku ini membawa kita kepada satu hakikat penting, perkahwinan yang kuat bukan sekadar tentang hidup bersama tetapi tentang membina makna bersama. Nilai, tujuan dan arah hidup yang dikongsi itulah yang menjadi tali yang mengikat ketika hubungan diuji.

Akhirnya, semuanya kembali kepada dua perkara. Kepercayaan dan komitmen. Kepercayaan tidak lahir daripada kata-kata hebat tapi daripada tindakan kecil yang konsisten. Komitmen pula bukan sekadar janji di awal perkahwinan tetapi keputusan yang dibuat setiap hari untuk terus memilih pasangan kita walaupun dalam keadaan yang sukar.

Buku ini sesuai untuk mereka yang ingin memahami perkahwinan dengan lebih jujur. Bukan sekadar romantik tetapi realistik. Bukan sekadar bertahan, tetapi membina hubungan yang benar-benar hidup.

Comments

No comments yet. Why don’t you start the discussion?

    Leave a Reply