KALAU NAK KAYA, NAK BERJAYA, NAK HEBAT, JAGA MASA

KALAU NAK KAYA, NAK BERJAYA, NAK HEBAT, JAGA MASA

Kadang-kadang kita tengok orang di sekeliling kita berjaya dalam pelajaran. Ada yang berjaya beli apa yang dia nak, tapi kita tak mampu. Ada yang berjaya khatam Quran sebulan sekali. Ada yang sempat baca buku dengan begitu banyak sedangkan kita tak dan nak baca, orang lain bersenam, sempat buat bisnes dan macam-macam kejayaan lagi yang orang lain dapat.

Tapi kita tak berjaya pun. Buat itu tak berjaya, buat ini tak berjaya. Nak baca buku tak dan, nak mengaji tak dan, nak bersenam tak dan. Kerja yang patut siap minggu ni terbawa sampai minggu depan. Minggu depan terbawa pulak ke bulan depan. Mengapa?

Kata kuncinya, jaga masa. Jangan bazir masa.

Kita semua Allah bagi benda yang sama. Sehari 24 jam. Orang kaya dapat 24 jam, orang miskin pun 24 jam. Orang yang berjaya dapat 24 jam, kita pun dapat 24 jam. Tak dak siapa pun Allah bagi 30 jam sehari. Bezanya ialah apa yang depa buat dengan 24 jam tu, dan apa yang kita buat dengan 24 jam kita.

Sebab tu Allah SWT bersumpah dengan masa.
وَٱلْعَصْرِ. إِنَّ ٱلْإِنسَـٰنَ لَفِى خُسْرٍ
“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian.” (Surah al-‘Asr: 1-2).

Duit habis boleh cari balik. Barang rosak boleh beli lain. Perniagaan rugi boleh usaha balik. Tapi masa yang dah lepas, tak boleh dah. Semalam tak boleh patah balik. Pagi tadi pun tak boleh patah balik.

Nabi SAW juga mengingatkan:
نِعْمَتَانِ مَغْبُونٌ فِيهِمَا كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ: الصِّحَّةُ وَالْفَرَاغُ
Ada dua nikmat yang ramai manusia tertipu dengannya, iaitu kesihatan dan masa lapang. (Riwayat al-Bukhari).

Dua benda ni kita selalu rasa macam akan ada selama-lamanya. Masa badan sihat, kita kata nantilah. Masa ada kelapangan, kita kata nantilah. Sampai satu masa bila badan dah tak larat atau kesibukan dah bertambah, masa tu baru teringat benda yang kita patut buat dulu.

Sebenarnya bukan kita tak dak masa. Masa tu ada, tapi bocor. Buka Facebook sat. Scroll TikTok sat. Tengok WhatsApp sat. Lepas tu nampak satu video menarik, tengok sat. Video tu habis keluar pulak video lain. Tau-tau sejam hilang. Kalau sehari sejam kita habiskan macam tu, setahun dah 365 jam. Kalau tiga jam sehari, dah lebih 1,000 jam setahun.

James Clear dalam Atomic Habits banyak membawa idea bahawa perubahan kecil yang dibuat secara konsisten akhirnya boleh menghasilkan perubahan yang besar. Baca Quran 20 minit sehari nampak macam tak banyak. Baca buku 10 muka surat sehari pun nampak macam tak banyak. Briskwalk 30 minit sehari pun nampak biasa. Belajar satu kemahiran sejam sehari pun rasa macam sikit sangat.

Tapi kalau darab dengan sejuta hari?

Kalau buat setahun? Sepuluh muka surat sehari dah jadi 3,650 muka surat. Kalau sebuah buku sekitar 250 muka surat, setahun dah boleh habis lebih kurang 14 buah buku. Mengaji 20 minit sehari pula dah jadi lebih 120 jam setahun bersama al-Quran. Benda yang nampak kecik bila dibuat sekali memang kecik, tapi benda kecik yang dibuat hari-hari lama-lama jadi besaq.

Sebab tu kadang-kadang kita tengok orang lain makin lama makin jauh meninggalkan kita. Bukan dia terus jadi hebat dalam sehari. Hari ni dia baca sikit, esok dia belajar sikit, lusa dia buat lagi. Kita pulak hari ni kata “nanti”. Esok pun “nanti”. Lusa pun “nanti”. Setahun kemudian dia dah jauh berjalan, kita masih dok tempat yang sama.

Brian Tracy dalam Eat That Frog! pula tekankan supaya kita dahulukan kerja yang paling penting. Jangan habiskan waktu terbaik kita untuk benda yang tak membawa kita ke mana-mana. Kadang-kadang pukul 8 pagi otak masih segar, badan masih bertenaga. Tapi masa tu kita guna untuk scroll media sosial, baca benda tak penting, tengok video itu ini. Pukul 11 baru nak buat kerja. Masa tu mata dah berat, otak dah serabut. Lepas tu kita kata, “Tak dak mood la hari ni.” 😅

Sebab tu kalau tengok orang lain berjaya, jangan dok tanya saja macam mana dia boleh berjaya. Tengok juga macam mana dia guna masa dia. Orang yang khatam Quran setiap bulan bukan sebab Allah bagi dia 30 jam sehari. Orang yang habis banyak buku bukan sebab hari dia lebih panjang daripada kita. Orang yang berjaya bina bisnes bukan sebab jam dia bergerak lebih perlahan. Depa pun ada 24 jam. Kita pun ada 24 jam.

Allah SWT berfirman:

فَإِذَا فَرَغْتَ فَٱنصَبْ
“Apabila engkau telah selesai daripada sesuatu urusan, maka bersungguh-sungguhlah mengerjakan urusan yang lain.” (Surah al-Syarh: 7).

Maknanya hidup ni kena bergerak. Selesai satu, buat satu. Jangan dok tunggu “ada masa”. Nak baca Quran, buat masa. Nak baca buku, buat masa. Nak bersenam, buat masa. Nak belajar, buat masa. Nak cari pendapatan tambahan, buat masa. Nak siapkan penulisan, buat masa. Kalau dok tunggu masa lapang, sampai bila-bila kita akan rasa tak dak masa.

Comments

No comments yet. Why don’t you start the discussion?

    Leave a Reply