Hidup di rumah taman, ruang tanah bukanlah luas mana.
Tak ada laman besar, tak ada kebun. Yang ada cuma beberapa pasu, disusun ikut ruang yang ada.
Tapi dari situ saya cuba juga bercucuk tanam.
Rezeki tak semestinya datang dalam bentuk yang besar. Kadang-kadang cukup sekadar ada, hidup, dan memberi manfaat. Paling tidak, sekadar memberi ketenangan dan kegembiraan bila melihat pokok yang ditanam sudah mengeluarkan hasil.
Ada pokok bidara.
Ada limau kasturi.
Ada daun pudina.
Ada culi padi.
Dan beberapa pokok lain yang mampu hidup dalam pasu, seadanya.



Pokok bidara, alhamdulillah, sudah mula berbuah. Kecil, hijau, dan sederhana. Tapi cukup untuk buat hati rasa syukur. Ia mengajar tentang sabar. Tanam hari ini, hasilnya bukan esok.
Daun pudina sudah selalu dipetik.
Masuk dalam teh O panas, tanpa gula.
Ringkas, segar, dan menenangkan.
Kadang-kadang yang paling baik untuk tubuh dan jiwa, bukan yang manis, tetapi yang sederhana dan bersih.
Dalam dunia yang serba laju, benda kecil beginilah yang buat kita berhenti sekejap, bernafas, dan ingat bahawa hidup ini bukan sekadar mengejar, tetapi juga mensyukuri.
Alhamdulillah.
